Wednesday 21 March 2012


TEKS UCAPAN PELANCARAN KEMPEN SAYANG BUKU TEKS SPBT

Bismillahhiramanirrahim,

Yang berusaha Pn Rozita Ahmad, Pengetua SMK Cheras Jaya, Pn Sofia Nor Molhit, Penolong Kanan SMK Cheras Jaya, Encik Othman Omar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Cheras Jaya, Pn Anita Mazlina Azman Arash, Penolong Kanan KoKurikulum SMK Cheras Jaya, Barisan Ketua Bidang, guru-guru cemerlang, guru-guru dan para pelajar sekalian.

 Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t dengan limpah kurniaNya kita dapat berhimpun pada pagi ini sempena Pelancaran Kempen Sayang Buku dan Ikrar Akujanji peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya.

 Para guru dan pelajar sekalian,

Untuk makluman semua, berkuatkuasa 1 Januari 2008, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan peluasan pemberian buku teks SPBT kepada semua murid warganegara Malaysia tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah menengah agama rakyat.

Sehubungan dengan itu, melalui Dasar Kelayakan SPBT Seratus Peratus, para ibu bapa pelajar tingkatan 1 telah dapat menjimatkan sebanyak RM180.10, tingkatan 2 RM180.20, tingkatan 3 sebanyak RM203.40, tingkatan 4 sebanyak RM189.00 – RM 230.00 manakala tingkatan 5 sebanyak RM 208.00 – 221.00 dalam perbelanjaan membeli buku teks sekolah.

Adalah diharapkan dalam pelaksanaan SPBT di sekolah, amatlah penting untuk memupuk kesedaran di kalangan murid untuk menghargai bantuan yg diberikan kepada mereka.

Para pelajar perlu memainkan peranan mereka untuk menghargai sumbangan kerajaan yg disediakan oleh kerajaan dalam proses pendidikan mereka.
Pelajar yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya anda perlu memahami  bahawa buku tersebut merupakan hak kerajaan Malaysia yang dipinjamkan kepada anda dan anda tertakluk kepada peraturan Skim Pinjaman Buku Teks Sekolah. 

Dengan ini anda harus bertanggungjawab ke atas buku teks anda dan akan mematuhi segala peraturan Unit SPBT pihak sekolah iaitu:
       1.      Menjaga kebersihan dan keselamatan buku teks SPBT.

2.      Membalut buku teks SPBT dengan pembalut plastic lutsinar.

3.      Memulangkan buku teks SPBT yang dipinjam pada masa yang ditetapkan.

4.      Mengganti buku teks SPBT yang dihilangkan atau dirosakan.

5.      Membaik pulih buku teks SPBT yang koyak atau rosak.

6.      Memastikan buku teks tidak diconteng, ditulis, dikoyak, di gunting atau sebarang jenis perlakuan yang boleh mengakibatkan kerosakan.

7.      Memastikan semua buku teks SPBT dibawa pulang pada setiap hari selepas sesi persekolahan berakhir.

8.      Memastikan buku teks tidak diberi pinjam kepada pelajar lain.

9.      Membawa setiap buku teks yang diperlukan mengikut jadual waktu sepanjang P&P berlangsung.

Pelajar sekalian,

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengingatkan dan menegaskan bahawa sekiranya pelajar  melanggar peraturan tersebut, maka pihak unit SPBT sekolah berhak mendenda atau meminta pelajar membayar harga kerosakan buku atau harga kehilangan buku teks yang berada pada pelajar. Kegagalan pelajar mematuhi peraturan SPBT turut membolehkan pihak sekolah mengambil apa-apa tindakan disiplin terhadap diri pelajar.

Maka dengan itu setiap pelajar yang telah menerima pinjaman SPBT, telah menandatangai surat akujanji yang meletakkan diri mereka tertakluk dalam semua peraturan penggunaan SPBT.
Para guru dan pelajar sekalian,

Untuk makluman, hari ini juga merupakan pelancaran Kempen Sayang Buku Teks. Kempen ini bertujuan untuk menyemai sifat hargai buku teks di kalangan pelajar seterusnya untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang pentingnya menjaga buku teks mereka dengan sempurna kerana sejumlah wang yang besar telah dibelanjakan oleh pihak kerajaan untuk menanggung kos penerbitan buku buku teks untuk semua pelajar di seluruh Malaysia. Kempen ini juga adalah untuk meningkatkan tahap penggunaan  buku teks di kalangan pelajar di dalam kelas, iaitu pelajar sering kali tidak membawa buku teks semasa proses P&P berlangsung dengan alasan tidak mahu membawa beg berat ke sekolah, walhal perkongsian buku teks diantara pelajar adalah dilarang kerana setiap pelajar telah dibekalkan dengan buku teks SPBT setiap seorang.

Kempen ini akan berlangsung sepanjang tahun dan beberapa aktiviti akan di jalankan sepanjang tempoh kempen  ini. Di antara aktiviti-aktiviti yg akan dijalankan ialah:
1.      Pemeriksaan semerta di kelas – untuk memastikan buku teks tidak ditinggalkan di dalam kelas selepas waktu persekolahan, walaupun kelas tidak di gunakan disebelah petang/pagi.
2.     Klinik buku teks – kaunter perkhidmatan SPBT akan di buka untuk memberi perkhidmatan membalut dan membaik pulih buku SPBT.
3.      Penyeliaan buku teks – pemeriksaan fizikal dan keselamatan buku teks secara berkala yang akan dijalankan oleh semua penyelaras SPBT tingkatan.
4.      Kaunter aduan pelanggan – pelajar boleh membuat laporan penemuan atau kehilangan buku teks SPBT.
5.      Open Book quiz/ Kuiz terbuka- pelajar dibenarkan merujuk buku teks untuk menjawab soalan ujian dan kuiz. Ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar membawa buku teks ke sekolah.

Para pelajar sekalian,

Adalah diharapkan oleh pihak sekolah, Kempen Sayang Buku ini mendapat kerjasama yang padu daripada semua pelajar.

Seterusnya dijemput Pn Pengetua, Pn Rozita Ahmad, diiringi Penolong Kanan HEM, Ustaz Othman Omar, untuk memberi sepatah dua kata dan seterusnya melancarkan Kempen Sayang Buku Teks SPBT.
Seterusnya dijemput Raja Sharmin Izzaty bt Raja Lob Shahrudin untuk mengetuai pembacaan ikrar akujanji pelajar.

Terima kasih diucapkan kepada Raja Sharmin Izzaty bt Raja Lob Shahrudin atas bacaan ikrar sebentar tadi. Dengan itu maka selesailah sudah Pelancaran Kempen Sayang Buku dan Lafaz Ikrar Aku Janji Pelajar tahun 2010.
Sekian Terima Kasih.


No comments: