Wednesday 21 March 2012


TEKS UCAPAN BULAN HAL EHWAL MURID 2012 (HEM)
Melayang serindit di atas permatang,
Merbah berkicau di hujung muara,
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara
Yang berbahagia,
En. Sharuddin bin Yusof,
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah,
Yang Berusaha,
Pn. Hashimah bt Hashim,
Pengetua SMK Cheras Jaya,
Yang Dihormati,
Pn. Sofia Nor bt Molhit,
Penolong Kanan SMK Cheras Jaya,
Ustaz Othman bin Omar,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Pn. Anita Mazlina bt Azman Arash,
Penolong Kanan Kokurikulum,
En. Azahari bin Mohd Yusof,
Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Barisan guru  kanan matapelajaran, guru-guru cemerlang, guru-guru dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian.
Assalamualikum dan selamat sejahtera.
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya kita dapat berkumpul di dataran integrasi ini bagi menjayakan Pelancaran Bulan Hal Ehwal Murid tahun 2012 dengan tema;
“Kecemerlangan Sahsiah, Kesejahteraan Bersama”.
Guru-guru dan pelajar sekalian,
Unit Hal Ehwal Murid merupakan satu badan yang berfungsi untuk membantu dalam perkembangan diri dan sahsiah murid supaya murid berfungsi sebagai individu yang seimbang, berdikari, berpengetahuan dan berkemahiran, berfikiran kreatif dan kritis, memupuk potensi diri dan kebolehan ke tahap maksima dan menyuburkan potensi kepimpinan dalam diri setiap murid.
Objektif unit Hal Ehwal Murid adalah :
·        membantu perkembangan diri pelajar supaya berfungsi sebagai individu seimbang
·        memupuk semangat kerjasama dan setiakawan di kalangan pelajar
·        menyuburi  potensi kepimpinan di kalangan pelajar
·        memberi peluang kepada pelajar mengembangkan potensi diri ke tahap yang maksima
Guru-guru dan pelajar sekalian,  
Tak molek, jika ada alu tiada lesungnya,
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya,
Tak lengkaplah majlis jika tiada yang berbicara.
Tirai ucapan pada pagi ini dimulakan dengan ucapan  Pengetua SMK Cheras Jaya. Untuk itu, Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berusaha Puan Hashimah bt  Hashim, untuk menyampaikan sepatah dua kata.
Dipersilakan.
Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Puan Hashimah bt  Hashim atas kesudian menyampaikan ucapan sebentar tadi.
Guru-guru dan pelajar sekalian,
Kini tibalah kita kepada acara yang dinantikan iaitu ucapan daripada tetamu kehormat. Majlis dengan penuh takzim mempersilakan Yang Berbahagia En. Sharuddin bin Yusof, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah untuk meyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Bulan Hal Ehwal Murid tahun 2012.
Dengan segala hormatnya dipersilakan.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia En. Sharuddin bin Yusof, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah atas ucapan serta perasmian sebentar tadi.
Seterusnya sebagai tanda penghargaan,  majlis mempersilakan Yang Berusaha Pn. Hashimah bt Hashim, Pengetua SMK Cheras Jaya untuk menyampaikan cenderahati kepada Yang Berbahagia En. Sharuddin bin Yusof.
Dipersilakan.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berusaha Pn. Hashimah bt Hashim atas kesudian menyampaikan cenderahati kepada Yang Berbahagia En. Sharuddin bin Yusof.
Adat tuan adat berserah
Mari datang membawa puan
Adat bersirih adat sejarah
Untuk tuan kami sembahkan
Majlis Pelancaran Bulan Hal Ehwal Murid diteruskan lagi dengan persembahan pelajar-pelajar SMK Cheras Jaya.
Dipersilakan.
Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelajar-pelajar SMK Cheras Jaya atas persembahan sebentar tadi.
Guru-guru dan pelajar sekalian,
Untuk makluman semua, tempoh pelaksanaan bulan Hal Ehwal Murid adalah bermula pada 13 Feb  sehingga 5 Mac  2012. Antara aktiviti yang telah dirancang adalah :
·        explorace
·        kuiz spontan
·        teka silang kata
·        pertandingan melukis poster anti buli

Adalah diharapkan para  pelajar dapat menyertai aktiviti-aktiviti yang telah
dirancang  kerana sesungguhnya setiap aktiviti yang dirancang adalah
untuk memberi peluang dan ruang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi diri dan memupuk semangat kerjasama serta setiakawan di kalangan pelajar. Semoga semua pelajar mendapat input yang berguna dalam aktiviti yang akan dijalankan.
Bagi mengakhiri ucapan, Majlis merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada tetamu kehormat kita Yang Berbahagia En. Sharuddin bin Yusof, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah kerana sudi hadir dalam majlis Pelancaran Bulan Hal Ehwal Murid pada tahun ini.
 Dengan itu, maka berakhirnya majlis Pelancaran Bulan Hal Ehwal Murid tahun 2012.
“Kecemerlangan Sahsiah, Kesejahteraan Bersama”.
Sekian terima kasih.


No comments: