Wednesday 21 March 2012


TEKS UCAPAN MAJLIS PELANCARAN KEMPEN SAYANG BUKU DAN IKRAR AKU JANJI 2012

Bismillahhiramanirrahim,
Yang berusaha Pn Hashimah Hashim, Pengetua SMK Cheras Jaya, Pn Sofia Nor Molhit, Penolong Kanan SMK Cheras Jaya, Encik Othman Omar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Cheras Jaya, Pn Anita Mazlina Azman Arash, Penolong Kanan KoKurikulum SMK Cheras Jaya, Barisan Ketua Bidang, guru-guru cemerlang, guru-guru dan para pelajar sekalian.

 Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

 Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berhimpun pada pagi ini sempena Pelancaran Kempen Sayang Buku dan Ikrar Akujanji peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya.

 Para guru dan pelajar sekalian,

Buku Teks ialah buku yang digunakan sebagai bahan asas yang utama dan sumber maklumat mengenai mata pelajaran atau bidang yang tertentu. Buku teks juga mencerminkan nilai masyarakat, harapan dan cita-cita sesebuah negara. Di negara kita buku teks memuatkan perkara-perkara seperti Perpaduan Masyarakat, Rukun Negara, Masyarakat Penyayang dan Wawasan 2020.
Untuk makluman semua, berkuatkuasa 1 Januari 2008, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan peluasan pemberian buku teks SPBT kepada semua murid warganegara Malaysia tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah menengah agama rakyat.

 Sehubungan dengan itu, melalui Dasar Kelayakan SPBT Seratus Peratus, para ibu bapa pelajar tingkatan 1 telah dapat menjimatkan sebanyak RM150.00-RM155.00, tingkatan 2 RM148.00 – RM158.00, tingkatan 3 sebanyak RM168.00-RM180.00, tingkatan 4 sebanyak RM189.00 – RM 230.00 manakala tingkatan 5 sebanyak RM 208.00 – 221.00 dalam perbelanjaan membeli buku teks sekolah.

Adalah diharapkan dalam pelaksanaan SPBT di sekolah, amatlah penting untuk memupuk kesedaran di kalangan murid untuk menghargai bantuan yg diberikan oleh pihak kerajaan.

Para pelajar seharusnya memainkan peranan mereka untuk menghargai sumbangan yg disediakan oleh kerajaan dalam proses pendidikan mereka.
Pelajar yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya anda perlu memahami  bahawa buku teks tersebut merupakan hak kerajaan Malaysia yang dipinjamkan kepada anda dan anda tertakluk kepada peraturan Skim Pinjaman Buku Teks Sekolah. 

Dengan ini anda harus bertanggungjawab ke atas buku teks anda dan akan mematuhi segala peraturan Unit SPBT pihak sekolah iaitu:
1.      Menjaga kebersihan dan keselamatan buku teks SPBT.
2.      Membalut buku teks SPBT dengan pembalut plastik lutsinar.
3.      Memulangkan buku teks SPBT yang dipinjam pada masa yang ditetapkan.
4.      Mengganti buku teks SPBT yang dihilangkan atau dirosakkan.
5.      Membaik pulih buku teks SPBT yang koyak atau rosak.
6.      Memastikan buku teks tidak diconteng, ditulis, dikoyak, di gunting atau sebarang jenis perlakuan yang boleh mengakibatkan kerosakan.
7.      Memastikan semua buku teks SPBT dibawa pulang pada setiap hari selepas sesi persekolahan berakhir.
8.      Memastikan buku teks tidak diberi pinjam kepada pelajar lain.
9.      Membawa setiap buku teks yang diperlukan mengikut jadual waktu sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung.

Pelajar sekalian,
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengingatkan dan menegaskan bahawa sekiranya anda  melanggar peraturan – peraturan tersebut, maka pihak unit SPBT sekolah berhak mendenda atau meminta anda membayar harga kerosakkan buku atau harga kehilangan buku teks yang berada pada tangan anda. Kegagalan  mematuhi peraturan SPBT turut membolehkan pihak sekolah mengambil apa-apa tindakan disiplin terhadap diri pelajar.

Maka dengan itu, setiap pelajar yang telah menerima pinjaman SPBT, telah menandatangai surat aku janji yang meletakkan diri mereka tertakluk dalam semua peraturan penggunaan SPBT.
Para guru dan pelajar sekalian,
Untuk makluman, hari ini juga merupakan pelancaran Kempen Sayang Buku Teks. Kempen ini bertujuan untuk menyemai sifat hargai buku teks di kalangan pelajar seterusnya untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang pentingnya menjaga buku teks mereka dengan sempurna kerana sejumlah wang yang besar telah dibelanjakan oleh pihak kerajaan untuk menanggung kos penerbitan buku - buku teks untuk semua pelajar di seluruh Malaysia. Kempen ini juga adalah untuk meningkatkan tahap penggunaan  buku teks di kalangan pelajar di dalam kelas, iaitu pelajar sering kali tidak membawa buku teks semasa proses P&P berlangsung dengan alasan tidak mahu membawa beg berat ke sekolah, walhal perkongsian buku teks diantara pelajar adalah dilarang kerana setiap pelajar telah dibekalkan dengan buku teks SPBT setiap seorang.

Kempen ini akan berlangsung sepanjang tahun dan beberapa aktiviti akan di jalankan sepanjang tempoh kempen  ini. Di antara aktiviti-aktiviti yg akan dijalankan ialah:
1.      Pemeriksaan semerta di kelas – untuk memastikan buku teks tidak ditinggalkan di dalam kelas selepas waktu persekolahan, walaupun kelas tidak di gunakan di sesi petang/pagi.
2.      Klinik buku teks – kaunter perkhidmatan SPBT akan di buka untuk memberi perkhidmatan membalut dan membaik pulih buku SPBT.
3.      Penyeliaan buku teks – pemeriksaan fizikal dan keselamatan buku teks secara berkala yang akan dijalankan oleh semua penyelaras SPBT tingkatan.
4.      Kaunter aduan pelanggan – pelajar boleh membuat laporan penemuan atau kehilangan buku teks SPBT.
5.      Pinjaman sementara – pelajar tingkatan 5 boleh meminjam buku tingkatan 4 di bilik SPBT yang akan bermula pada bulan Mei(sekiranya ada lebihan buku teks).

Para pelajar sekalian,
Adalah diharapkan oleh pihak sekolah, Kempen Sayang Buku ini mendapat kerjasama yang padu daripada semua pelajar.

Seterusnya dijemput Pn Pengetua, Pn Hashimah Hashim, diiringi Penolong Kanan HEM, Ustaz Othman Omar, untuk memberi sepatah dua kata dan seterusnya melancarkan Kempen Sayang Buku Teks SPBT.
Terima kasih diucapkan kepada Puan Hashimah atas pelancaran sebentar tadi.

Seterusnya dijemput saudari Idayu dari kelas 5 Fatonah untuk mengetuai pembacaan Ikrar Aku Janji Pelajar.
Semua pelajar diminta berdiri tegak.

Terima kasih kepada saudari Idayu. Demikian tadi berakhirnya Pelancaran Kempen Sayang Buku dan Ikrar Akujanji peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya. Harapan kami dari Unit SPBT memohon agar para pelajar dapat menjaga dan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan dengan sebaik-baiknya.

Sekian terima kasih.


1 comment:

Unknown said...

Tq.. Sgt bermanfaat utk rujukan