Thursday 16 August 2012

PROGRAM KESELAMATAN JALAN RAYA TAHUN 2012


Yang berbahagia,

En. Mazlan bin Abdul Aziz,

Pembantu Penguasa Kanan JPJ Cawangan Bangi
Yang Berusaha,
Pn. Hashimah bt Hashim,
Pengetua SMK Cheras Jaya,
Yang dihormati,

En. Mohd Ikbal Zambri bin Mohd Zain,

Wakil Lebuhraya SAGA

Yang dihormati,

En. Razak bin Said,

Penyelia Kelab dan Persatuan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat,

 Yang Dihormati,
Pn. Sofia Nor bt Molhit,
Penolong Kanan SMK Cheras Jaya,

 Ustaz Othman bin Omar,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Pn. Anita Mazlina bt Azman Arash,

Penolong Kanan Kokurikulum,

En. Azahari bin Mohd Yusof,

Penolong Kanan Pendidikan Khas,

Barisan guru  kanan matapelajaran, guru-guru cemerlang, guru-guru dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian.

Assalamualikum dan selamat sejahtera.

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya kita dapat berkumpul di dataran integrasi ini bagi menjayakan ‘Program Keselamatan Jalan Raya’ bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.
Guru-guru dan pelajar sekalian,
Program ini amatlah penting dalam usaha untuk memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memandu dengan berjati-hati, bertimbang rasa kepada pengguna yang lain seperti  penunggang motosikal, penunggang basikal dan pejalan kaki. Dan yang paling penting adalah kita hendaklah menghargai nyawa sendiri dan nyawa orang lain.
Kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi masalah negara yang menghantui kita setiap hari. Kemalangan jalan raya banyak berlaku pada musim perayaan khususnya bukan sahaja membawa kerugian kepada keluarga mangsa, tetapi kerugian modal insan yang besar kepada Negara. Setiap nyawa yang hilang akibat kemalangan jalan raya merupakan kerugian kepada negara kerana banyak wang dan perbelanjaan telah dikeluarkan ke atas mereka bagi tujuan persekolahan, peperiksaan, serta latihan pekerjaan dan akhirnya tidak dapat memberi sumbangan kepada negara akibat terlibat dalam kemalangan.
Guru-guru dan pelajar sekalian,
Bagi meneruskan ucapan pada pagi ini, pihak majlis berbesar hati menjemput Yang berbahagia, En. Mazlan bin Abdul Aziz, Pembantu Penguasa Kanan JPJ Cawangan Bangi untuk menyampaikan taklimat berkenaan dengan keselamatan jalan raya.
Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada En. Mazlan bin Abdul Aziz atas ucapan sebentar tadi.
Sesungguhnya, usaha untuk menjadikan kemalangan jalan raya sifar bukanlah impian pihak kerajaan semata-mata tetapi setiap rakyat negara ini juga perlu menunjukkan usaha untuk mengurangkan berlakunya kemalangan disebabkan kecuaian.

Guru-guru dan pelajar sekalian,

Soal keselamatan di jalan raya adalah menjadi tanggungjawab setiap individu sebagai pengguna jalan raya dan bukannya tanggungjawab pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata. Pengguna perlu menganggap sasaran menurunkan statistik kemalangan jalan raya ke peringkat sifar merupakan satu tuntutan sosial.

Seterusnya sebagai tanda penghargaan, majlis mempersilakan Yang Berusaha Pn. Hashimah bt Hashim, Pengetua SMK Cheras Jaya untuk menyampaikan cenderahati kepada Yang Berbahagia En. Mazlan bin Abdul Aziz.

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengetua SMK Cheras Jaya atas kesudian menyampaikan cenderahati sebentar tadi.

Guru-guru dan pelajar sekalian,

Bersempena dengan Program Keselamatan Jalan Raya pada hari ini, saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar mengamalkan pemanduan berhemah, merancang perjalanan dengan sempurna bagi mengelakkan memandu dalam keadaan tergesa-gesa dan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Undang-undang, penguatkuasaan serta penganjuran kempen kesedaran keselamatan jalan raya tidak akan memberikan makna dan kesan sekiranya pengguna jalan raya masih mengamalkan sikap tidak berhemah, tidak berdisiplin dan beretika semasa menggunakan jalan raya. Kita semestinya berusaha gigih untuk menangani masalah keselamatan jalan raya ini. Jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil, insiden kemalangan sudah pasti akan terus meningkat setiap tahun.

Guru-guru dan pelajar sekalian,

Untuk acara seterusnya, majlis mempersilakan dif-dif jemputan bersama-sama dengan wakil pentadbir dan pelajar-pelajar yang menunggang motosikal ke tapak meletak kenderaan untuk acara menampal sticker, menukar helmet dan konsultasi oleh pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan pihak polis.

Dipersilakan.

Dengan itu, maka berakhirnya ‘Program Keselamatan Jalan Raya’. Akhir kata patuhilah undang-undang di mana sahaja kita berada. Saya serahkan acara seterusnya kepada guru yang bertugas.














No comments: